SHANGHAI: Kumpulan Pelaburan Tenaga China iaitu sebuah syarikat milih negeri itu akan melabur dalam projek tenaga diperbaharui di Sarawak.
Hasrat untuk menanam modal itu disuarakan oleh Pengerusinya kepada rombongan Sarawak yang diketuai Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ketika melawat Shanghai semalam.
Syarikat terbabit berminat untuk melabur dalam projek solar terapung di Sarawak dengan kapasiti dua gigwat (GW). Di samping itu, China Energy akan turut menerokai pelaburan dalam bidang seperti Sisa Buangan kepada tenaga dan loji rawatan air yang mereka memiliki kepakarannya.
Dengan memiliki sumber untuk biomas dan menghasilkan hidrogen hijau, Sarawak berada dalam kedudukan baik bagi syarikat terbabit untuk melabur dalam bidang berkenaan dengan menyasar 200,000 tan Methanol Hijau untuk loji y ang dicadangkan.
Selain daripada tenaga konvensional dan diperbaharui sedia ada seperti tenaga angin dan solar, syarikat terbabit juga merintis sumber tenaga masa depan seperti Hidrogen Hijau dan Methanol. Buat masa ini, syarikat itu sedang membangunkan loji hidrogen hijau dan amonia terbesar China yang dijadual beroperasi pada 2026 hasil keupayaan penyelidikan dan pembangunannya.
Bagi menyokong strategi tenaga hijau Sarawak, syarikat itu merancang menubuhkan sebuah Pusat Tenaga Diperbaharui untuk membolehkannya melatih dan membangunkan kemahiran tenaga tempatan dalam sektor berkenaan.
Awang Tengah mengalu-alukan pelaburan daripada Kumpulan Antarabangsa Tenaga China sebagai menyahut matlamat Sarawak mencapai kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
Bersama Awang Tengah dalam lawatan ke China itu ialah Penasihat MINTRED, Dato Sri Mohd. Naroden Majais, Setiausaha Tetap MINTRED, Dzulkornain Masron, CEO INVEST Sarawak Timothy Ong, dan Ketua Pegawai Eksekutif RECODA Datuk Ismawi Ismuni.